Monday 9 August 2010

Koleksi Resipi PERWAKILAN Frankfurt



Pelancaran buku Koleksi Resipi PERWAKILAN Frankfurt telah dibuat oleh Konsul Jeneral Malaysia di Frankfurt, Encik Saiful Azam Abdullah yang juga merangkap Penasihat Kehormat PERWAKILAN Frankfurt. Pelancaran ini telah diadakan semalam, Khamis 8 Julai 2010 di Bilik Serbaguna Konsulat Jeneral Malaysia, Frankfurt. Ia merupakan terbitan pertama oleh PERWAKILAN Malaysia di Frankfurt.




Penghasilan buku setebal 41 muka surat ini diilhamkan oleh selebriti chef Malaysia, Chef Ismail Ahmad, di mana beliau telah menghabiskan masa selama beberapa bulan sepanjang tahun 2007 hingga 2009 dengan mempromosi masakan Malaysia di bumi Jerman. Penerbitan ini juga dilihat sebagai salah-satu usaha untuk mengumpul resipi-resipi warisan rakyat Malaysia.

Koleksi resipi yang terdapat di dalam buku ini merupakan sumbangan resipi daripada ahli-ahli PERWAKILAN Frankfurt yang memang sudah terbukti kesedapannya. Selain daripada itu, Chef Ismail Ahmad juga amat berbesar hati menyumbang beberapa resipi beliau untuk dikongsi bersama.

Mempromosikan 21 jenis resipi, buku ini dimulai dengan hidangan kek dan kuih-muih, kemudian diikuti oleh resipi ikan dan ayam, bihun, mi dan kuey teow, telur dan nasi yang sungguh menyelerakan. Dengan berpandukan buku ini sebagai rujukan, adalah diharapkan masyarakat luar negara juga dapat memasak dan menikmati keenakan pelbagai masakan yang ada di Malaysia sepertimana yang dinikmati oleh rakyat Malaysia sendiri.

Sekitar Pelancaran Koleksi Resipi PERWAKILAN Frankfurt..

Sepatah dua kata daripada wakil PERWAKILAN Frankfurt, Puan Sharifah Noraida Syed Ibrahim

Pelancaran buku Koleksi Resipi PERWAKILAN Frankfurt oleh Konsul Jeneral Malaysia di Frankfurt sambil diperhatikan oleh Pengerusi PERWAKILAN