Sunday, 1 May 2016

PERWAKILAN Beriadah & Makan Tengahari di Kediaman Yang Berbahagia Konsul Jeneral Malaysia


Berjalan-jalan bersama ke Taman Bunga,
PERWAKILAN beriadah dengan bergaya,
Di kediaman Puan Adina santai bersama,
Menikmati hidangan enak dengan selera.

Musim Bunga di Frankfurt cukup indah sekali dengan angin sepoi - sepoi bahasa, bunga-bunga yang bewarna warni dan pohon-pohon menghijau tumbuh dengan segar turut menghiasi bandar dan taman perumahan Sachsenhausen di mana terletaknya kediaman rasmi Yang Berbahagia Konsul Jeneral Malaysia di Frankfurt, Puan Adina Kamarudin. 

Keindahan yang digambarkan itu menggamit pandangan dan mencuit hati ahli-ahli PERWAKILAN untuk beriadah bersama dan makan tengahari di kediaman rasmi Yang Berbahagia Konsul Jeneral Malaysia di Frankfurt, Puan Adina Kamarudin. Pada hari Jumaat yang baru melabuhkan harinya iaitu 29hb April, 2016, Puan Pecky Lau Peck Leng telah berbesar hati menyediakan Mee Udang di dalam program sosial yang julung sekali diadakan iaitu PERWAKILAN beriadah dan melawati taman mini bunga kediaman rasmi Yang Berbahagia Puan Adina Kamarudin. 

Di kesempatan ini, PERWAKILAN ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berbahagia Puan Adina di atas kesudian menerima kunjungan ahli-ahli PERWAKILAN ke kediaman rasmi beliau dan begitu juga buat ahli PERWAKILAN Puan Pecky Lau Peck Leng yang telah menyediakan juadah utama Mee Udang serta ahli-ahli PERWAKILAN yang telah membawa juadah ringan untuk dinikmati bersama. 

Tema "Polka Dots" merupakan tema pilihan PERWAKILAN di acara kali ini. Pelbagai variasi "Polka Dots" dari blouse, skirt, baju kurung dan head scarfs menghiasi penampilan setiap ahli PERWAKILAN pada hari Jumaat yang lalu. Syabas! buat setiap ahli PERWAKILAN kerana bersungguh-sungguh menjayakan tema pilihan kali ini. 

Tepat pukul 11:15 pagi, PERWAKILAN mulakan acara beriadah berjalan kaki ke Taman Hijau yang berdekatan sekitar 500 meter dari kediaman rasmi Yang Berbahagia Konsul Jeneral Malaysia di Frankfurt, Puan Adina. Pengalaman yang menarik buat setiap ahli PERWAKILAN kerana dapat beriadah bersama dan menghirup udara yang segar di Bandar Sachsenhausen. Sekitar 12:15 tengahari PERWAKILAN menikmati hidangan utama Mee Udang dan hidangan Ayam goreng ala "snack plate KFC" yang telah disediakan oleh Puan Ling Hashim di kediaman rasmi Puan Adina Kamarudin. Program sosial ini meninggalkan kenangan yang manis buat setiap ahli PERWAKILAN kerana berpeluang menikmati keindahan taman mini bunga di kediaman rasmi Puan Adina, beriadah dan santai bersama serta merakam foto-foto yang menarik, untuk berkongsi memori bersama setiap ahli PERWAKILAN.






Polka Dots menghiasi meja utama di Kediaman rasmi Puan Adina Kamarudin





Beriadah di Taman Hijau yang berdekatan di Bandar Sachsenhausen








Yang Berbahagia Konsul Jeneral Malaysia di Frankfurt, Puan Adina (kanan) tampil menarik dengan berseluar hitam bersama blouse polka dots putih dan keperangan. 




Penampilan polka dots yang ceria dari Puan Pecky Lau Peck Leng. 


Ahli PERWAKILAN, Puan Rohana menguntum senyuman yang manis 
dengan head scarf polka dots ungu


Puan Dhamayanthy Singaram atau lebih dikenali dengan Puan Selvi,
  dengan gaya  polka dots yang tersendiri.














Friday, 22 April 2016

Selamat Ulangtahun Yang Berbahagia Konsul Jeneral Malaysia!

Tepat pukul 12 tengahari sebentar tadi telah berlangsung sambutan hari jadi buat Yang Berbahagia Puan Adina Kamarudin, Konsul Jeneral Malaysia di Frankfurt yang bertempat di Dewan Tan Sri Ghazalie Shafie, Konsulat Malaysia. Majlis yang meriah ini telah dirancang bersama oleh ahli-ahli PERWAKILAN di dalam perbualan yang tertutup bertujuan untuk membuat kejutan mesra bagi meraikan hari ulang tahun Yang Berbahagia Puan Adina Kamarudin.

Pelbagai juadah dan hidangan yang lazat telah disediakan oleh setiap ahli PERWAKILAN dan segalanya telah dirancang dengan baik. PERWAKILAN juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pegawai-pegawai dan kakitangan Konsulat Malaysia terutama sekali Encik Rahman di atas kerjasama yang diberikan di dalam menghiasi ruang dewan bagi menceriakan suasana sambutan majlis kejutan hari jadi ini. 

Majlis yang bertema Pelangi ini menjadi lebih indah apabila Puan Adina menyarungkan seutas gelang tangan Swarovski ke tangan beliau yakni pemberian ikhlas dari setiap ahli PERWAKILAN. Semoga kenangan manis hari ini akan sentiasa segar di ingatan Puan Adina dan setiap ahli PERWAKILAN. Di atas kesempatan dan ruang yang diberikan ini, PERWAKILAN sekali lagi ingin mengucapkan Selamat Hari Jadi Puan Adina, semoga sentiasa sihat, ceria dan dilimpahkan dengan kasih sayang. 






























Nota : 
Hari Ulangtahun Yang Berbahagia Puan Adina Kamarudin adalah pada hari Ahad, 24hb April, 2016. Majlis kejutan sambutan hari jadi ini diadakan dua hari awal.











Sunday, 17 April 2016

"PERWAKILAN Lunch"


Pada hari Jumaat, 15hb April, 2016, tepat pukul 12.30 tengahari, ahli-ahli PERWAKILAN bersama Yang Berbahagia Konsul Jeneral Malaysia di Frankfurt, Puan Adina berkumpul bersama menikmati jamuan makan tengahari di sebuah Restoran India yang beralamat di  Delhi Tandoori Restaurant, Bockenheimer Anlage 1a, 60322 Frankfurt. Tema Perwakilan Lunch adalah memakai warna biru sebagai tanda keseragaman dan semangat kerjasama kesetiakawan di dalam mewarnai program aktiviti bersosial bersama ahli-ahli PERWAKILAN. Terima kasih buat semua yang telah menepati warna tema Perwakilan Lunch.

Ini adalah merupakan aktiviti sosial PERWAKILAN yang pertama pada tahun 2016 dan ahli -ahli PERWAKILAN ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Puan Adina kerana telah mencadangkan aktiviti ini pada mesyuarat PERWAKILAN yang lalu. Selain dari itu, Jawatankuasa Sosial PERWAKILAN juga ada menyatakan bahawa ini adalah merupakan tanda penghargaan kepada setiap ahli PERWAKILAN yang telah menjayakan program pada tahun 2015. Syabas kepada setiap ahli PERWAKILAN di atas segala usaha murni di dalam menjayakan program-program pada tahun yang lalu.

Pelbagai makanan lazat dari India dihidangkan seperti chicken tandoori, lamb karahi, chicken karahi, butter chicken, garlic naan, beriyani rice, lamb tandoori, papadom dan lain-lain. Ahli-ahli PERWAKILAN menikmatinya dengan enak sekali dan bersyukur dengan rezeki yang telah disediakan. Makan tengahari bersama ahli-ahli PERWAKILAN berakhir pada pukul 2 petang.



Ahli-ahli PERWAKILAN bersama Yang Berbahagia Konsul Jeneral Malaysia (Frankfurt), 
Puan Adina (kanan).