Friday 18 February 2011

Menghayati Perjuangan Rasulullah SAW

Sumber : Sebahagian Petikan Tazkirah Encik Sharizan Sudin Sempena Sambutan Maulidur Rasul 1432H/2011M
Lokasi : Dewan Serbaguna, Konsul Jeneral Malaysia Frankfurt
Tema Sambutan : 1Malaysia 1Ummah

  • Bulan Rabiulawal merupakan bulan yang penuh berkat lagi bermakna untuk umat Islam di mana pada tarikh 12 Rabiulawal kita menyambut Maulidul Rasul yang menjadi salah satu hari kebesaran Islam. 
  • Kebiasaannya, tarikh ini disambut dengan begitu meriah di negara kita dengan harapan agar kita akan terus menghidupkan syariat dan syiar yang dibawa oleh Baginda semenjak 1432H yang lalu. 
  • Nabi Muhammad SAW adalah seorang Rasul yang telah menyelesaikan segala permasalahan umat. Baginda telah menyempurnakan amanah Allah SWT sewaktu hayatnya dengan meninggalkan dua khazanah yang amat berharga kepada kita sebagai panduan hidup iaitu al-Quran dan Sunnah Nabawiyah. 
  • Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
    Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sekalian sesat selagi mana kamu berpegang dengan keduanya iaitu kitab Allah dan Sunnah Nabi.” (Riwayat Iman Malik )
    • Pada dasarnya, program Maulidur Rasul ini adalah sebahagian daripada aktiviti dakwah Islam. Ia bertujuan untuk mentarbiyah, membimbing dan memperingatkan umat Islam agar menghargai apa yang dikurniakan oleh Allah SWT. 
    • Sebagai orang Islam, kita perlu memperingati perjuangan Nabi Muhammad SAW. Baginda merupakan seorang pesuruh Allah SWT yang paling berjaya menegakkan ajaran Allah, Rasul terakhir dan merupakan tokoh teragung sepanjang abad di dunia dan akhirat kerana membawa perubahan besar kepada lanskap akidah, syariah dan akhlak seluruh juzuk hidup manusia di dunia. Malah hingga ke hari ini peribadi suci Rasulullah SAW masih dikagumi musuh-musuh Islam.
    • Sambutan Maulidur Rasul diberikan liputan meluas media cetak dan media elektronik. Ia bertujuan supaya kita sentiasa memperingati seorang insan terpilih, memahami gaya kepimpinan, cara pendekatannya, memahami akhlaknya dan memahami dasar politik, ekonomi dan sosial untuk kita teruskan dan hayati. 
    • Sambutannya sebenarnya merupakan suatu peringatan, suatu tazkirah yang bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah adz-Dzaariyat, ayat 55 yang bermaksud:
    Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang yang beriman.

    • Sebagai umat Islam, kita perlu sentiasa mentauladani, mengulangkaji, merujuk dan sentiasa menyuburkan sirah perjuangan Baginda SAW supaya kekal dalam ingatan dan jiwa kita. 
    • Sambutannya bukan sekadar mainan, bukan juga bersenda gurau atau mengisi masa kosong tetapi lebih kepada mencapai suatu tugas yang perlu kita laksanakan, berbentuk amanah yang perlu kita tunaikan. 
    • Amat malang sekali bagi kita umat Islam jika sambutan yang diadakan setiap tahun ini, tidak dihayati sepenuhnya dengan pengisian yang tepat oleh umat Islam. Bahkan lebih menyedihkan lagi sekiranya pada satu masa kita mengagungkan Rasulullah SAW tetapi pada masa yang lain pula kita bersifat talam dua muka, bertukar rupa dengan melakukan perkara yang dilarang oleh Rasulullah SAW.
    • Marilah sama-sama kita menjadi umat yang terbaik dengan mengimbangi kehidupan kita secara saksama, adil dan bertepatan dengan apa yang telah diajar oleh junjungan besar kita Muhammad SAW. 
    • Ambillah contoh tauladan yang telah digariskan oleh Baginda dengan berteraskan konsep wasatiyyah dan al-tawazun yang amat sesuai pada bila masa, dan serasi dengan manusia sejagat.
    • Bersikap sederhana bukan bermaksud mengambil mudah akan sesuatu perkara dan hanya berserah kepada takdir dan nasib untuk menentukan segalanya tetapi yakinlah bahawa ia lahir daripada ilmu dan prinsip yang benar, tahu membezakan yang mana benar dan yang batil serta mampu bertolak ansur. Sama-sama kita hayati firman Allah SWT dalam surah al-Qasas ayat 77 yang bermaksud :
    Dan tuntutlah dengan harta yang Allah kurniakan kepadamu akan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah kamu lupakan bahagianmu dari dunia; dan berbuat baiklah kepada orang lain sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu; dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan.

    • Akhir kata, marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat.