Wednesday 23 November 2011

Majlis Perpisahan Encik Riduan dan Isteri

Semalam Selasa 22 November 2011, satu majlis makan tengahari telah diadakan di Konsulat Jeneral Malaysia di Frankfurt. Majlis yang dimulakan jam 1:00 tengahari ini merupakan majlis perpisahan untuk Encik Riduan Ab Rahman dan isteri Puan Dayang Faezealina Awang Tajudin. 

Saturday 19 November 2011

Red Coffee Morning ~ Puan Zainab Osman

Semalam Jumaat 18 November 2011 jam 10:30 pagi berlangsung satu lagi coffee morning PERWAKILAN Frankfurt. Kali ini di kediaman Puan Zainab Osman di Frankfurt. Bertemakan warna merah, PERWAKILAN memulakan majlis dengan bermesyuarat, diikuti dengan majlis makan-makan dan diakhiri dengan tunjukajar membuat tempura oleh Puan Rahizam Abdullah.

Sunday 6 November 2011

Aidil Adha Datang Lagi

Datangnya berulang-ulang. Semalam Sabtu, 9 Zulhijjah merupakan Hari 'Arafah di mana bagi umat Islam yang tidak menunaikan rukun haji disunatkan berpuasa. Hari ini pula Ahad 6 November 2011 bersamaan dengan 10 Zulhijjah 1432H adalah Aidil Adha. Dikenali juga sebagai Hari Raya Qurban,  ia merupakan salah-satu di antara dua hari kebesaran umat Islam sedunia.

Di Frankfurt am Main, bertempat di Bangunan Konsul Jeneral Malaysia, keluarga besar Konsulat Malaysia sekali lagi berkumpul di pagi hari untuk sama-sama bertakbir, mendengar khutbah, berdoa dan mengharapkan semoga kedatangannya kali ini penuh dengan keberkatan.

Saturday 5 November 2011

ISF International Day

Hari ini Sabtu 5 November 2011 merupakan International Day ISF (ISF Internationale Schule Frankfurt-Rhein-Main). Bagi sebahagian ahli PERWAKILAN Frankfurt yang mempunyai anak-anak yang bersekolah di sini, hari ini merupakan hari yang bermakna buat mereka dan anak-anak kerana pada tahun ini Malaysia terpilih menjadi salah-satu daripada fokus country di samping Germany, Latin &  South America dan United Kingdom.

Sunday 2 October 2011

Hari Keluarga Konsulat Jeneral

Semalam Sabtu 1 Oktober 2011 jam 9 pagi, buat pertama kalinya Konsulat Jeneral Malaysia di Frankfurt telah mengadakan Hari Keluarga khas untuk warga konsulat. Ia diadakan di kediaman rasmi Konsul Jeneral. Sepanjang majlis berlangsung, beberapa acara sukaneka telah diadakan antaranya ikat belon di kaki, isi air dalam botol dan lambung kasih. Sudah pasti kanak-kanak adalah yang paling gembira pada hari tersebut. Dapat bermain dengan rakan-rakan dan mendapat hadiah membuatkan mereka girang sampai ke petang..

Wednesday 28 September 2011

Morning Coffee ~ Puan Sharifah Noraida

Semalam Selasa 27 September 2011 pada jam 10:30 pagi, Puan Sharifah Noraida sekali lagi mengadakan majilis morning coffee.. kali ini di kediaman baru beliau di Oberrusel. 

Di dalam majlis ini, Pengerusi PERWAKILAN Puan Karen George Abraham telah menyampaikan ucapan terima kasih di atas kerjasama semua di dalam menjayakan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Konsulat tempohari dan menyentuh serba-sedikit hasil mesyuarat dengan ISF Internationale Schule Frankfurt-Rhein-Main mengenai International Day yang bakal diadakan pada 6 November 2011 di mana Malaysia akan menjadi salah-satu focus country. PERWAKILAN juga turut membincangkan cadangan sukaneka untuk Hari Keluarga Konsulat yang bakal diadakan pada awal bulan hadapan.


Wednesday 21 September 2011

Rumah Terbuka Hari Kebangsaan Konsulat

Selasa 20 September 2011, Konsulat Jeneral Malaysia di Frankfurt telah mengadakan rumah terbuka sempena Sambutan Kemerdekaan Malaysia Ke-54. Tema Hari Kemerdekaan tahun ini ialah

1Malaysia : Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera

Majlis yang diadakan di kediaman rasmi Konsulat Jeneral tersebut bermula jam 5:30 petang. Dihadiri oleh para tetamu jemputan konsulat, majlis berakhir jam 7:00 malam.


Sunday 4 September 2011

Sambutan Aidilfitri Bersama Konsulat Jeneral Malaysia Frankfurt

Sabtu 3 September 2011, Konsulat Jeneral Malaysia di Frankfurt telah mengadakan Rumah Terbuka Aidilfitri di Restauran Cosmopolitan, Frankfurt. Majlis yang bermula jam 5:30 petang dan berakhir jam 7:00 malam tersebut diadakan untuk meraikan rakyat Malaysia dan keluarga di perantauan. Selain daripada itu ia juga dihadiri oleh tetamu-tetamu konsulat yang dijemput khas untuk sama-sama meraikan hari yang bersejarah ini. 

Wednesday 31 August 2011

31 Ogos

Tanggal 31
Bulan 8 lima puluh tujuh
Merdeka, Merdeka
Tetaplah merdeka
Ia pasti menjadi sejarah...


Tanggal 31
Bulan 8 lima puluh tujuh
Hari yang mulia
Hari bahagia
Sambut dengan jiwa yang merdeka

Mari kita seluruh warga negara
Ramai-ramai menyambut hari merdeka
Merdeka!
31 bulan lapan 57
Hari mulia negaraku merdeka

Merdeka... merdeka... merdeka...

Merdeka!

Tuesday 30 August 2011

Selamat Hari Raya!

Hari ini Selasa 1 Syawal 1432, umat Islam sedunia umumnya menyambut Hari Raya Aidilfitri. Bagi masyarakat Malaysia sekitar Frankfurt dan kawasan berdekatan, sembahyang sunat hari raya telah diadakan di Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia, Frankfurt.  Selain daripada ahli keluarga konsulat, majlis yang turut disertai oleh beberapa orang pelajar dan ahli MCD (Malaysian Club Deutschland) tersebut diakhiri dengan hidangan sarapan pagi yang telah dibawa secara potluck terancang oleh PERWAKILAN Frankfurt. Terima kasih kami untuk ahli MCD yang juga sudi membawa sedikit juadah untuk dinikmati bersama-sama pada pagi tersebut.. 

Friday 12 August 2011

Persiapan Raya 2011

Bermula dengan mesyuarat PERWAKILAN pada 8 Ogos lepas, beberapa aktiviti telah disusun bagi mempastikan persiapan Rumah Terbuka Aidilfitri Konsulat tahun ini berjalan lancar.

11 Ogos 2011, jam 9:00 pagi ahli PERWAKILAN berkumpul di kediaman Konsul Jeneral Malaysia di Frankfurt untuk membuat karipap dan biskut raya melting moments. Aktiviti yang turut disertai oleh rakan MCD (Malaysian Club Deutschland) tersebut berakhir jam 2:30 petang.

Wednesday 13 July 2011

Selamat Jalan..Puan Yatt

Sudah menjadi kebiasaan PERWAKILAN berkumpul untuk mengucapkan Selamat Jalan kepada mereka yang akan meninggalkan bumi Frankfurt samada meneruskan kehidupan baru di negara lain atau pulang meneruskan khidmat bakti di tanahair tercinta pula. Hari ini Rabu, 13 Julai 2011, kami beramai-ramai menghantar Puan Noor Hayati Abu Noh dan keluarga pulang ke Malaysia. Memulakan tugas pada Feb 2008 di Cologne sebelum pejabat MATRADE berpindah ke Frankfurt, beliau dijangka melaporkan diri di ibu pejabat MATRADE Malaysia pada minggu hadapan. Untuk puan..selamat maju jaya dari kami.. pastinya kami akan merindui kesedapan chocolate cake dan carrot cake puan! 

Friday 8 July 2011

Morning Coffee ~ Puan Karen George Abraham

Semalam, Khamis 7 Julai 2011 bertempat di kediaman rasmi Konsul Jeneral Malaysia di Frankfurt, majlis morning coffee pertama untuk sesi 2011/2012 telah diadakan. Majlis morning coffee yang dihostkan oleh Pengerusi PERWAKILAN Frankfurt, Puan Karen George Abraham telah dimulai beliau dengan tunjuk-cara membuat tosai dan chutney kelapa kepada ahli-ahli yang hadir.

Thursday 30 June 2011

Puan Misnah, Puan Zalina..bis treffen uns wir wieder!

Hari ini pagi Rabu 29 Jun 2011, PERWAKILAN Frankfurt dan sahabat-handai hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Frankfurt untuk mengucapkan Selamat Jalan kepada Puan Misnah Salikan dan keluarga yang akan berlepas ke Malaysia untuk bercuti selama seminggu sebelum terbang semula ke Seoul Koreo untuk memulakan kehidupan baru di sana pula.

Tuesday 28 June 2011

Ladies Day Out

Semalam, Isnin 27 Jun 2011, PERWAKILAN Frankfurt berkumpul sekali lagi untuk acara makan-makan.. memilih restoran masakan jepun dan china di bandar Frankfurt, acara makan-makan kali ini dibiayai hasil daripada lebihan wang sumbangan Karnival Sukan Frankfurt-Berlin yang baru sahaja selesai tempohari. Makan tengahari yang bermula jam 12:30 tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi PERWAKILAN Frankfurt, Puan Karen George Abraham.

Saturday 25 June 2011

Majlis Perpisahan Encik Marzuki, Encik Zaidi dan Puan Noor Hayati

Semalam Jumaat, 24 Jun 2011 tepat jam 6:00 petang pihak konsulat dan keluarga berkumpul sekali lagi di Bangunan Konsulat Jeneral bagi meraikan tiga rakan mereka yang akan berlepas dari bumi Frankfurt bagi meneruskan tugasan masing-masing di tempat lain pula. Encik Mohd. Marzuki Mohd. Amin akan ke Seoul Korea, manakala Encik Zaidi dan Puan Noor Hayati Abu Noh akan pulang ke Malaysia. Turut-serta di dalam majlis ini ialah ahli keluarga Encik Marzuki dan Puan Noor Hayati yang sentiasa setia menemani, menyokong dan menjadi tulang belakang di sepanjang perjalanan kerjaya pasangan masing-masing. Selamat Maju Jaya untuk mereka bertiga..

Tuesday 21 June 2011

Frankfurt Menang Lagi!

Untuk kali kedua berturut-turut, Frankfurt muncul juara di dalam Karnival Sukan Frankfurt-Berlin yg diadakan di Frankfurt pada Jumaat, 17 Jun hingga Ahad, 19 Jun 2011. Kali ini Frankfurt yang menjadi tuan rumah telah mengalahkan pihak Berlin 2-1 di dalam acara golf dan badminton, tetapi tewas di dalam acara bowling. 



Thursday 16 June 2011

Mesyuarat Agong Dan Majlis Perpisahan

Semalam Rabu 15 Jun 2011, PERWAKILAN Frankfurt telah mengadakan mesyuarat Agong untuk sesi 2011/2012. Bertempat di Bilik Mesyuarat Bunga Raya di Konsulat Jeneral Malaysia Frankfurt, mesyuarat dimulakan jam 10:00 pagi dengan dipengerusikan oleh Pengerusi PERWAKILAN Frankfurt, Puan Karen George Abraham. Turut hadir ialah Penasihat Kehormat PERWAKILAN Frankfurt, Encik John K. Samuel.

Sunday 5 June 2011

Mettlach Outlet Center

Semalam, Sabtu 4 Jun 2011 PERWAKILAN Frankfurt outing lagi. Kali ini ke Villeroy & Boch di Mettlach. Dengan menaiki bas yang ditaja khas, PERWAKILAN Frankfurt ditemani oleh ahli keluarga dan kenalan. Rombongan seramai 20 orang tersebut bertolak seawal 9:00 pagi dari bandar Frankfurt dan tiba di sana jam 12:00 tengahari.

Thursday 2 June 2011

Semoga Cepat Sembuh!

Terbaru semalam, Rabu 1 Jun 2011 sekitar jam 10:30 pagi, PERWAKILAN Frankfurt berkumpul sekali lagi di rumah Puan Sharifah Noraida Syed Ibrahim di Bad Hamburg. Pertemuan kali ini bagi menziarahi suami beliau Tuan Syed Yahya Syed Othman atau lebih dikenali sebagai Tuan Syed yang telah selamat menjalani pembedahan jantung pada 29 April 2011 lepas. Suami beliau yang baru dibenarkan pulang ke rumah diberikan cuti sakit sehingga hujung bulan ini. Beliau yang suka berjenaka membuatkan kami tidak putus-putus ketawa. Walaupun sedang sakit masih ceria berkongsi cerita.

Tuesday 31 May 2011

Welcome n Farewell

Selasa, 31 Mei 2010, rumah Puan Anne Bechler sekali lagi dimeriahkan dengan kehadiran PERWAKILAN Frankfurt. Welcome n Farewell, tema majlis makan-makan kali ini. Majlis yang diadakan di kediaman beliau di Bad Soden tersebut bermula jam 10:30 pagi. Kali ini tuan rumah memilih nasi campur dan mee goreng sebagai hidangan utama. Selain daripada pastri dan buahan-buahan yang disediakan oleh beliau, pihak PERWAKILAN juga tidak ketinggalan menambahkan senarai menu sediada dengan pelbagai kuih-muih sebagai buah tangan.

Tuesday 24 May 2011

Persiapan Karnival Sukan Frankfurt-Berlin Kali Ketiga

Hari ini, Selasa 24 Mei 2011 jam 10:00 pagi, PERWAKILAN Frankfurt berkumpul sekali lagi di Pusat Bowling Brunswick. Latihan hari ini adalah merupakan latihan pertama daripada beberapa siri latihan yang dirancang diadakan sebagai persiapan untuk menyertai Karnival Sukan Frankfurt-Berlin kali ketiga yang bakal diadakan pada Jun depan. Kali ini Frankfurt akan menjadi tuan rumah untuk karnival ini yang bakal berlangsung pada 17 hingga 19 Jun nanti.

Wednesday 27 April 2011

Selamat Datang Puan!

Semalam Selasa, 26 April 2011, ahli PERWAKILAN Frankfurt telah mengadakan perjumpaan pertama dengan Pengerusi PERWAKILAN Frankfurt yang baru, Puan Karen George Abraham.  Bertempat di Bilik Mesyuarat Konsulat Jeneral Malaysia Frankfurt, majlis dimulakan jam 2:30 petang. Beliau sekeluarga baru tiba di Frankfurt pada pagi Ahad lepas. Semua ahli PERWAKILAN hadir pada sesi perjumpaan ini kecuali dua orang ahli bekerja yang sedang bercuti rehat.

Friday 15 April 2011

Ziarah

Khamis 14 April 2011, PERWAKILAN telah menziarahi Puan Fadillah Hashim dan anaknya Shahmie Haziq yang akan mencecah usia tiga bulan pada hujung bulan ini di rumah beliau di Frankfurt. Beliau yang pulang bersalin dan menghabiskan tempoh pantang di Malaysia telah memulakan tugasnya seperti biasa pada minggu ini.

Friday 8 April 2011

Kunjungan Muhibbah

Pada Khamis 7 April 2011, PERWAKILAN dijemput oleh  Puan Anne Bechler atau lebih senang dipanggil Anne untuk majlis makan-makan di rumahnya di Bad Soden. Mencipta kemeriahannya yang tersendiri, majlis yang dimulakan pada jam 10:30 pagi tersebut dihadiri oleh hampir semua ahli PERWAKILAN. 

Thursday 10 March 2011

Morning Coffee ~ Puan Zainab Othman

Morning coffee terbaru telah diadakan semalam Rabu 9 Februari 2011. Bertempat di kediaman Puan Zainab Othman di Frankfurt am Main, acara bermula pada jam 10:30 pagi. Hampir kesemua ahli PERWAKILAN menghadirkan diri. 


Morning coffee ini juga diadakan sebagai meraikan kedatangan ahli baru PERWAKILAN iaitu Cik Rodziah Idris. Beliau yang baru sampai pada Jumaat lepas akan bertugas di sini sebagai Personal Assistant (PA) di Pejabat Konsul General Frankfurt. Pernah bertugas di luar negera sebelum ini iaitu di Pontianak dan Perth, ini merupakan kali ketiga beliau dihantar berkhidmat di luar negara. Daripada PERWAKILAN, Selamat Datang Cik Rodziah! Semoga segala pengalaman hidup dan pengetahuan yang ada dapat dimanafaatkan di sini pula.

Friday 25 February 2011

Jom Bowling!

Pagi Khamis 24 Februari 2011 jam 10:30, PERWAKILAN berkumpul di Pusat Bowling Brunswick GmbH Berkersheimer Weg 104. Pagi itu kami berbowling lagi! Kali ini diserikan dengan kehadiran ahli baru PERWAKILAN, Puan Zainab Othman dan sahabat baru PERWAKILAN Puan Anne Bechler. Kedua-duanya baru tiba di Frankfurt am Main hujung tahun lepas bersama-sama keluarga masing-masing. Bermain untuk suka-suka, rihatkan minda kalah-menang tidak berkira..Permainan tamat lebih kurang jam 1:00 tengahari setelah masing-masing menghabiskan sebanyak dua permainan.

Gambar sekitar main bowling..
Antara yang hadir pada pagi itu..

Friday 18 February 2011

Menghayati Perjuangan Rasulullah SAW

Sumber : Sebahagian Petikan Tazkirah Encik Sharizan Sudin Sempena Sambutan Maulidur Rasul 1432H/2011M
Lokasi : Dewan Serbaguna, Konsul Jeneral Malaysia Frankfurt
Tema Sambutan : 1Malaysia 1Ummah

  • Bulan Rabiulawal merupakan bulan yang penuh berkat lagi bermakna untuk umat Islam di mana pada tarikh 12 Rabiulawal kita menyambut Maulidul Rasul yang menjadi salah satu hari kebesaran Islam. 
  • Kebiasaannya, tarikh ini disambut dengan begitu meriah di negara kita dengan harapan agar kita akan terus menghidupkan syariat dan syiar yang dibawa oleh Baginda semenjak 1432H yang lalu. 
  • Nabi Muhammad SAW adalah seorang Rasul yang telah menyelesaikan segala permasalahan umat. Baginda telah menyempurnakan amanah Allah SWT sewaktu hayatnya dengan meninggalkan dua khazanah yang amat berharga kepada kita sebagai panduan hidup iaitu al-Quran dan Sunnah Nabawiyah. 

Wednesday 16 February 2011

Maulidur Rasul 1432H/2011M

Ya Nabi Salamun Alaika
Ya Rasul Salamun Alaika
Ya Habibi Salamun Alaika

Semalam 15 Februari 2011, sambutan Majlis Maulidur Rasul 1432H/2011M yang bertemakan '1Malaysia 1Ummah' telah diadakan oleh pihak Konsulat Jeneral Malaysia, Frankfurt. Majlis yang diadakan di Dewan Serbaguna Konsulat tersebut telah disambut secara sederhana oleh pegawai dan kakitangan serta keluarga konsulat. Majlis bermula jam 10:30 pagi, dimulai dengan tazkirah bertujuan mengingati sejarah Islam ketika Rasulullah saw masih hidup oleh Encik Sharizan Sudin, diikuti dengan selawat ke atas nabi junjungan dan diakhiri dengan bacaan doa. 

Tuesday 1 February 2011

Alhamdulillah..Syukur..

Itulah antara ucapan pertama yang keluar daripada kami ahli PERWAKILAN Frankfurt bila mengetahui seorang lagi ahli telah selamat menjalani proses bersalin.. Memilih untuk pulang bersalin di Malaysia, Puan Fadhilah Hashim telah selamat melahirkan bayi lelaki seberat 2.8kg jam 9:42 malam pada Isnin, 21 Januari 2011 di Hospital Assunta, Petaling Jaya, Selangor. 

Untuk Puan Fadhilah 'Tahniah' kami ucapkan.. semoga dapat menjalani tempoh berpantang dengan sebaik-baiknya..dan dapat kembali bertugas semula di sini dengan penuh semangat juga.. tidak sabar rasanya untuk menatap wajah comel ten little fingers tu..  yang juga merupakan penambahan terbaru di dalam keluarga besar PERWAKILAN Frankfurt!

Hmmm.. giliran siapa pula selepas ini..??

Wednesday 19 January 2011

Khabar Gembira..Khabar Gembira..Khabar Gembira

Akhirnya yang ditunggu-tunggu sudah tiba.. khabar gembira untuk semua..

Salah-seorang ahli PERWAKILAN Frankfurt, Puan Norsyika Diana Che Othman telah selamat melahirkan bayi perempuannya pada pagi Ahad, 2 Januari 2011 di St.-Markus-Krankenhaus gGmbh, Frankfurt am Main. Dilahirkan secara normal, bayi comel ini diberi nama Nur Khadeeja Hanna. Ia merupakan anak ketiga dalam keluarga. Turut sama di sisi membantu proses kelahiran ialah suami tercinta, Encik Sharizan Sudin.

Friday 14 January 2011

Datang Dan Pergi..Silih Berganti..

Pagi tadi, Jumaat 14 Januari 2011, Perwakilan berkumpul lagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Frankfurt. Selepas melakukan urusan check-in di kaunter MAS, Puan Nur Hafiza Mansor dan keluarga bersama-sama PERWAKILAN dan rakan Konsulat Malaysia Frankfurt yang hadir sempat menjamu selera seketika di Restoran Mc Donald sebelum mereka sekeluarga menaiki pesawat untuk berlepas pulang ke Malaysia.

Saturday 1 January 2011

Tschüss 2010.. Hallo 2011

Melangkah detik 12 tengahmalam ini, bermakna kita meninggalkan tahun 2010 di belakang. Tahun baru bermula sudah.. Pengalaman lalu adalah guru terbaik dalam kehidupan.. Sempena kedatangan tahun baru ini, PERWAKILAN Frankfurt mengucapkan 'Selamat Tahun 2011' untuk semua.. jadikanlah pencapaian diri kita di tahun 2011 ini lebih baik daripada 2010.. yakin boleh!!