Tuesday, 23 December 2014

Majlis Perpisahan Puan Wan Nor Hasima Abdullah dan Puan Marleen Abdul Manaf

Majlis perpisahan Puan Wan Nor Hasima Abdullah dan Puan Marleena Abdul Manaf telah diadakan di Dewan Tan Sri Ghazali Shafie, Konsulat Malaysia Frankfurt pada 26 November 2014.

Puan Wan Nor Hasima serta suami beliau, Encik Zulkiply Endut  yang bertugas sebagai Konsul Pentadbiran di Konsulat Malaysia, Frankfurt sejak pertengahan 2011, pulang ke Malaysia untuk meneruskan tugas di ibu pejabat. 

Puan Marleena Abdul Manaf, Timbalan Pengarah Pelancongan di Frankfurt sejak awal tahun 2012 juga pulang ke Malaysia bersama suami dan anak tercinta untuk meneruskan tugas di ibu pejabat. 

Majlis yang bermula pada pukul 6 petang itu disajikan pelbagai juadah yang disediakan oleh ahli-ahli perwakilan. Antara menu yang disediakan ialah nasi putih, ulam-ulaman, sup kambing, ayam bakar, ikan bakar ala Portugis, sambal sotong, ayam varuval, siew pak choy dengan sos tiram, kek coklat, kek pelangi, kuih muih dan sebagainya. 






Tanam lenggun tumbuh kelapa
Terbit bunga pucuk mati
Budi puan kami tak lupa
Telah terpahat di dalam hati



22 Disember 2014

Ahli perwakilan dan keluarga telah berkumpul di Lapangan Terbang Antarabangsa Frankfurt pada 22 Disember 2014 untuk mengucapkan selamat jalan kepada Puan Wan Nor Hasima Abdullah dan Encik Zulkiply Endut. 





31 Januari 2015

Kami juga sempat berkumpul di Lapangan Terbang Antarabangsa Frankfurt pada 31 Januari 2015 untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Puan Marleena Abdul Manaf sekeluarga. 










Friday, 12 December 2014

Bengkel Memasak di kediaman Puan S. Dhamayanthy

Pada 11 Disember 2014, Puan Selvi dengan berbesar hati telah mengadakan Bengkel Memasak di kediaman beliau di Sachsenhausen. Semua ahli perwakilan yang hadir pada hari itu berpeluang untuk mempelajari pelbagai resipi dan cara masakan seperti membuat muruku, chutney kelapa, nasi pulao, thosai dan sebagainya. 

Puan Selvi bukan sahaja telah menyediakan resipi untuk disalin oleh ahli perwakilan, malah telah menunjukkan bahan-bahan yang diperlukan serta langkah-langkah untuk menyediakan masakan yang diajar. 

Setelah belajar, kami pun beralih kepada aktiviti yang paling kami gemari iaitu MENJAMU SELERA! 







Terima kasih diucapkan kepada Puan Selvi. 


Monday, 17 November 2014

Perayaan Deepavali di kediaman Encik S. Jai Shankar dan Puan Lau Peck Leng

Pada 16hb November 2014, Encik S. Jai Shankar dan Puan Pecky Lau telah menjemput ahli-ahli Perwakilan sekeluarga ke kediaman mereka di Bad Soden sempena menyambut perayaan Deepavali. 

Para tetamu telah dihidangkan pelbagai juadah seperti kari ayam, ayam goreng, sambal udang, rendang kambing, raita, roti canai, tart telur, buah-buahan dan sebagainya. 





Terima kasih diucapkan kepada Encik Jai dan Puan Pecky. 


Monday, 10 November 2014

Lawatan ke Limburg an der Lahn

Pada 9 November 2014, ahli perwakilan dan keluarga telah melawat salah satu bandar bersejarah di Jerman iaitu Limburg an der Lahn

Perjalanan menaiki bas yang bermula pada pukul 9 pagi telah mengambil masa lebih kurang sejam untuk sampai ke Limburg yang terletak kira-kira 75 km dari Frankfurt. 

Walaupun cuaca agak sejuk pada hari itu, kami masih seronok bersiar-siar di bandar Limburg sambil bergambar. Kami sempat juga berpiknik dan menjamu makanan tengahari yang disediakan secara potluck oleh setiap ahli perwakilan. 








Sunday, 9 November 2014

Hari Antarabangsa di Internationale Schule Frankfurt


Pada 8 November 2014, ISF (Internationale Schule Frankfurt) telah meraikan Hari Antarabangsa yang ke-12. Negara yang diberi fokus adalah Malaysia, Brazil, Jerman, Jepun, Rusia dan Thailand. 

Pelbagai aktiviti dan persembahan telah diadakan. Ramai peserta yang mewakili negara asal masing-masing turut serta untuk membuat persembahan yang menunjukkan keunikan negara mereka. Perwakilan Malaysia di Frankfurt juga tidak ketinggalan. Dibawah bimbingan dan dorongan Konsul-Jeneral Malaysia, Puan Adina Kamarudin, Perwakilan Malaysia telah membuat persembahan Dikir Barat dan pertunjukan fesyen. 

Sebagai salah sebuah negara fokus pada hari ini, ahli Perwakilan telah bekerjasama untuk menghiasi Bilik Malaysia. Ramai yang mengunjungi Bilik Malaysia untuk mengenali negara Malaysia dengan lebih dekat. Pengunjung telah berpeluang untuk merasai kuih muih serta mencuba permainan tradisi Malaysia seperti congkak dan batu seremban. 

 Bilik Malaysia

 Bilik Malaysia

 Bersiap sedia untuk membuat persembahan 

Persembahan Dikir Barat


Terima kasih diucapkan kepada semua ahli yang hadir dan bekerjasama.