Sunday 6 November 2011

Aidil Adha Datang Lagi

Datangnya berulang-ulang. Semalam Sabtu, 9 Zulhijjah merupakan Hari 'Arafah di mana bagi umat Islam yang tidak menunaikan rukun haji disunatkan berpuasa. Hari ini pula Ahad 6 November 2011 bersamaan dengan 10 Zulhijjah 1432H adalah Aidil Adha. Dikenali juga sebagai Hari Raya Qurban,  ia merupakan salah-satu di antara dua hari kebesaran umat Islam sedunia.

Di Frankfurt am Main, bertempat di Bangunan Konsul Jeneral Malaysia, keluarga besar Konsulat Malaysia sekali lagi berkumpul di pagi hari untuk sama-sama bertakbir, mendengar khutbah, berdoa dan mengharapkan semoga kedatangannya kali ini penuh dengan keberkatan.
Diimani oleh Encik Zulkiply Endut, majlis ini juga turut disertai oleh beberapa orang pelajar Malaysia dan rakan MCD.

Selepas bersembahyang, masing-masing menjamu selera. Jika pada Hari Raya Puasa disunatkan menikmati sedikit makanan sebaik-baiknya buah tamar dengan bilangan yang ganjil sebelum keluar menunaikan solat hari raya, lain pula untuk Hari Raya Qurban. Pada Hari Raya Qurban, disunatkan menahan diri daripada makan sehinggalah selesai menunaikan solat hari raya.

Suasana sambutan hari raya di perantauan ternyata amat berbeza, namun kemeriahannya tetap dirasakan. Tiada suasana masyarakat Melayu menyembelih lembu dan kerbau di sana-sini, juga tiada suasana kunjung-mengunjung sanak-saudara di sini menjadikan acara berkumpul beramai-ramai bersama rakan-rakan sambil menjamu selera menjadi suatu yang dinanti-nanti di sini. Seperti kelaziman, hidangan raya pagi ini disediakan secara potluck terancang oleh PERWAKILAN Frankfurt. 

Yang jauh didekatkan, yang dekat semakin mesra...turut bergambar bersama ialah ahli baru kami iaitu Puan Nur Aainaa Farhana Che Awang (bertudung kuning-hijau). Beliau yang baru tiga hari tiba daripada Kuala Lumpur bakal menemani suami beliau Encik Khairul Nizam Jamalus yang sedang bertugas di sini..  'Selamat Pengantin Baru!' untuk Puan Aainaa dan suami.. moga ucapan ini masih belum terlambat untuk kalian berdua..

Antara lain yang sempat dirakam..berjubah hitam..fesyen muslimah masakini..PERWAKILAN.. tetap tampil anggun dan menawan..