Sunday 1 May 2016

PERWAKILAN Beriadah & Makan Tengahari di Kediaman Yang Berbahagia Konsul Jeneral Malaysia


Berjalan-jalan bersama ke Taman Bunga,
PERWAKILAN beriadah dengan bergaya,
Di kediaman Puan Adina santai bersama,
Menikmati hidangan enak dengan selera.

Musim Bunga di Frankfurt cukup indah sekali dengan angin sepoi - sepoi bahasa, bunga-bunga yang bewarna warni dan pohon-pohon menghijau tumbuh dengan segar turut menghiasi bandar dan taman perumahan Sachsenhausen di mana terletaknya kediaman rasmi Yang Berbahagia Konsul Jeneral Malaysia di Frankfurt, Puan Adina Kamarudin. 

Keindahan yang digambarkan itu menggamit pandangan dan mencuit hati ahli-ahli PERWAKILAN untuk beriadah bersama dan makan tengahari di kediaman rasmi Yang Berbahagia Konsul Jeneral Malaysia di Frankfurt, Puan Adina Kamarudin. Pada hari Jumaat yang baru melabuhkan harinya iaitu 29hb April, 2016, Puan Pecky Lau Peck Leng telah berbesar hati menyediakan Mee Udang di dalam program sosial yang julung sekali diadakan iaitu PERWAKILAN beriadah dan melawati taman mini bunga kediaman rasmi Yang Berbahagia Puan Adina Kamarudin. 

Di kesempatan ini, PERWAKILAN ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berbahagia Puan Adina di atas kesudian menerima kunjungan ahli-ahli PERWAKILAN ke kediaman rasmi beliau dan begitu juga buat ahli PERWAKILAN Puan Pecky Lau Peck Leng yang telah menyediakan juadah utama Mee Udang serta ahli-ahli PERWAKILAN yang telah membawa juadah ringan untuk dinikmati bersama. 

Tema "Polka Dots" merupakan tema pilihan PERWAKILAN di acara kali ini. Pelbagai variasi "Polka Dots" dari blouse, skirt, baju kurung dan head scarfs menghiasi penampilan setiap ahli PERWAKILAN pada hari Jumaat yang lalu. Syabas! buat setiap ahli PERWAKILAN kerana bersungguh-sungguh menjayakan tema pilihan kali ini. 

Tepat pukul 11:15 pagi, PERWAKILAN mulakan acara beriadah berjalan kaki ke Taman Hijau yang berdekatan sekitar 500 meter dari kediaman rasmi Yang Berbahagia Konsul Jeneral Malaysia di Frankfurt, Puan Adina. Pengalaman yang menarik buat setiap ahli PERWAKILAN kerana dapat beriadah bersama dan menghirup udara yang segar di Bandar Sachsenhausen. Sekitar 12:15 tengahari PERWAKILAN menikmati hidangan utama Mee Udang dan hidangan Ayam goreng ala "snack plate KFC" yang telah disediakan oleh Puan Ling Hashim di kediaman rasmi Puan Adina Kamarudin. Program sosial ini meninggalkan kenangan yang manis buat setiap ahli PERWAKILAN kerana berpeluang menikmati keindahan taman mini bunga di kediaman rasmi Puan Adina, beriadah dan santai bersama serta merakam foto-foto yang menarik, untuk berkongsi memori bersama setiap ahli PERWAKILAN.






Polka Dots menghiasi meja utama di Kediaman rasmi Puan Adina Kamarudin





Beriadah di Taman Hijau yang berdekatan di Bandar Sachsenhausen








Yang Berbahagia Konsul Jeneral Malaysia di Frankfurt, Puan Adina (kanan) tampil menarik dengan berseluar hitam bersama blouse polka dots putih dan keperangan. 




Penampilan polka dots yang ceria dari Puan Pecky Lau Peck Leng


Ahli PERWAKILAN, Puan Rohana menguntum senyuman yang manis 
dengan head scarf polka dots ungu


Puan Dhamayanthy Singaram atau lebih dikenali dengan Puan Selvi,
  dengan gaya  polka dots yang tersendiri.